Monday, July 23, 2018

KATA-KATA ALUAN YAA KETUA PENGARAH / KETUA HAKIM SYARIE SEMPENA MAJLIS PELANCARAN EKSA JKSM

YAA Dato' Dr. Haji Mohd Na'im Bin Hj. Mokhtar
Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Garis Panduan Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) JKSM berjaya diterbitkan. Panduan ini merupakan rujukan bagi melaksanakan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang kemas, bersih dan tersusun di sektor awam khususnya. Pelaksanaan EKSA diharapkan dapat meningkatkan lagi tahap pengurusan persekitaran kerja yang lebih kondusif di samping menggalakkan warga JKSM lebih inovatif seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam. Inisiatif menerbitkan Panduan Pelaksanaan EKSA ini secara langsung menyokong usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dalam kalangan agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran kerja yang kondusif dan budaya kerja positif.

EKSA atau Ekosistem Kondusif Sektor Awam merupakan inisiatif MAMPU dalam menambah baik pelaksanaan Amalan 5S di sektor awam. EKSA bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, kondusif, meningkatkan imej korporat, menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi, menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan amalan hijau, dan elemen pengauditan yang memenuhi 5 kepelbagaian fungsi dan premis agensi Kerajaan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. Saya percaya, pelaksanaan EKSA di JKSM bukan sekadar hanya untuk elemen kebersihan dan kekemasan sematamata, tetapi ia akan merangkumi segala aspek seperti kreativiti, inovasi serta produktiviti warga JKSM dalam menjayakan EKSA ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua Jawatankuasa EKSA dan warga JKSM yang telah berusaha dalam memastikan EKSA dilaksanakan di JKSM. Teruskan usaha murni tuan-tuan dan puan-puan. Semoga JKSM akan terus cemerlang dalam menjayakan EKSA dan menjadi contoh ikutan yang terbaik buat semua agensi awam yang lain.

No comments:

Post a Comment